4 polis cedera rusuhan di Kuala Terengganu

rusuhan2.jpg
Empat anggota polis termasuk tiga daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), cedera diserang dan dibaling termasuk dengan bom api, dipercayai oleh penyokong parti pembangkang selepas polis mengarahkan mereka bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Burok dan Jalan Sultan Mahmud di sini, malam kelmarin.

Seorang daripada empat anggota polis itu, Azmi Husin, 29, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera di tangan terkena kaca yang dibaling perusuh di tempat letak kenderaan Hotel Permai Inn. Tiga lagi anggota polis dirawat di hospital yang sama sebagai pesakit luar.

Dua lagi lelaki, masing-masing berumur 21 hingga 38 tahun turut cedera di bahu dan leher akibat terkena tembakan dilepaskan seorang konstabel yang mempertahankan diri dan kini dirawat di HSNZ.

Seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke HSNZ akibat cedera di kepala terkena balingan batu.

Polis menahan 23 lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun kerana membaling batu, botol, kayu dan bom api ke arah anggota polis serta merosakkan harta benda awam termasuk membakar Jalur Gemilang pada perhimpunan haram bermula 10 malam itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata kira-kira 11.45 malam, seorang anggota polis menjalankan tugas berhampiran kawasan tempat letak kereta Permai Inn dihampiri kira-kira 20 lelaki yang bertindak mengugut dan memukulnya dengan kayu.

“Ketika hendak beredar, seorang lagi lelaki memegang bahunya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada Cawangan Khas dan terus bertindak memukul mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa terjatuh.

“Penyerang terbabit berterusan menyerang anggota berkenaan hingga terkena kepala menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri. Tembakan itu menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan dia sempat lari ke arah pasukan FRU di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.

Ayub menjelaskan, polis tidak mengeluarkan permit bagi perhimpunan itu kerana terletak berhampiran kawasan perumahan pegawai kerajaan, yang dianggap tidak sesuai.

Sebelum ini, katanya, polis memanggil penganjur yang bertanggungjawab membawa Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, serta beberapa penceramah lain termasuk Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Triang, Leong Ngah Ngah dari DAP, bagi membincangkan soal permit.

“Kita bercadang untuk meminta mereka memindahkan kawasan ceramah ke Rusila. Namun sehingga jam 6 petang kelmarin, wakil mereka gagal hadir untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin) polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan menyebabkan kami mengambil langkah pencegahan di kawasan perhimpunan itu termasuk mengadakan sekatan jalan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 10 malam, antara 300 hingga 400 orang cuba merempuh sekatan berkenaan dengan bertindak agresif terhadap kira-kira 350 anggota polis dan FRU dengan membaling pelbagai objek termasuk bom molotov, kayu, besi, botol dan batu.

Pada masa sama, polis turut menahan sebuah bas di Jalan Temasya Batu Burok yang cuba masuk ke kawasan kejadian dan perbincangan diadakan supaya mereka bersurai namun mereka enggan menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air.

Ayub berkata, polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali meminta perusuh bersurai, tetapi keadaan semakin teruk apabila mereka bertindak lebih agresif.

“Melihat keadaan yang semakin tegang, polis mengambil pendekatan berundur bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku, tetapi keadaan itu diambil kesempatan oleh perusuh untuk memusnahkan harta benda awam termasuk mencabut pokok hiasan, pasu bunga dan lampu isyarat.

“Keadaan reda kira-kira jam 2 pagi dengan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

Sementara itu, polis semalam mendapat perintah tahanan reman ke atas empat lelaki bagi membantu siasatan termasuk yang cedera terkena tembakan dan dirawat di HSNZ.

Lelaki yang cedera berusia 21 tahun dari Kampung Masjid Pasir Panjang, di sini direman lima hari mulai semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, manakala tiga lagi direman antara dua hingga empat hari.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki yang cedera itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Muhd Rusli Ahmad di HSNZ, manakala tiga lagi dibawa ke Mahkamah Majistret.

Beliau berkata, 17 lagi lelaki berusia antara 20 hingga 30-an yang ditahan malam kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: