Gempar Dua Pemuda Di Tuduh Cuba Membunuh Anggota Polis

Begitu Malaysia..dua pemuda hanya dengan ada 2 tangan..hadir utk dengar ceramah politik..ditembak..kemudia dituduh ingin membunuh…

Saya tidak sempat menonton Buletin Utama TV3 sebentar tadi (jam 8 malam, 9 September) tetapi sudah dapat diagak apa yang akan diperkatakan pemimpin-pemimpin kanan Umno, misalnya Najib Razak dan Hishammuddin Hussein, dan juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Johari Baharom, mengenai tragedi seorang anggota polis menembak – dengan peluru hidup – dua peserta majlis ceramah anjuran Bersih, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi (8 September).

Dua pemuda yang cedera parah itu, seorang daripadanya dikejarkan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, ke ospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan tentulah tidak dilihat sebagai mangsa “keganasan” polis yang perlu dikasihani, sebaliknya anggota keselamatan yang menembak dengan peluru hidup itu pula akan dilihat sebagai “mangsa”,
sepertimana yang dapat saya kesan melalui laporan Berita Bernama. Maka, akan ditampilkan sebesar-besarnya nanti, bahawa apa jua yang jahat, yang buruk, yang merusuh, yang mengamuk, yang ekstrim, yang gila kuasa, yang tidak hormat undang-undang dan penguatkuasanya ialah PAS, pemimpin, ahli dan para penyokongnya. Segenap “senjata pemusnah” BN akan dihadapkan kepada PAS.

Usah terkejut dengan ulasan sebegitu rupa, yang cuba menghempap PAS dengan pelbagai imej buruk-jelik — yang akan bertindih-tindan nanti dek ramainya pemimpin BN yang ghairah mengulas — yang tujuannya hanya satu, yakni
*meletakkan PAS di dalam kandang orang salah*. Perhatikanlah, bebanan tohmahan palsu itu akan dihalakan khusus buat PAS Terengganu, bagi mencalarkan wajahnya seburuk mungkin, untuk menggelapkan apa jua harapan untuk menguasai semula negeri
itu.

Sejauh mana propaganda murahan Umno-BN-Polis-Media akan berjaya mengelabui mata rakyat, terpulang kepada kebijaksanaan PAS untuk menangani isu ini. Tidak mustahil isu “amukan” di Batu Buruk ini boleh mengasak PAS ke kubu pertahanannya sebagai pihak defensif, ataupun ia bisa bingkas bangun untuk menerjah dan menyerang balik pemerintah jika kisah sebenar dapat dipaparkan sebaik mungkin.

*Situasi sulit*

Dalam masa PAS perlu bersikap cermat dan berhati-hati, bimbang rakyat mudah dipengaruhi jentera propaganda BN terutama melalui media perdana, ketegasan
berdepan situasi sulit ini amat diperlukan. PAS pernah berdada suasana lebih
sukar, seperti Peristiwa Memali dan Lubuk Merbau di Kedah, dan lebih awal
lagi “rampasan kuasa” di Terengganu sendiri pada awal 60-an.

Propaganda itu sudahpun bermula. Melihat Terengganu sebagai sasaran utama
PAS dalam pilihan raya akan datang, selain mengekalkan pemerintahan di
Kelantan, isu ini tentu akan dimanipulasi sehebat mungkin, bukan lagi dalam
konteks keselamatan, bahkan ia terangkum erat dalam pakej politik pilihan
raya ke-12. Justeru, kenyataan pihak polis, seperti cuba dijelaskan Ketua
Polis Negeri, Dato’ Ayub Yaakob tidak mudah diterima umum.

Apatah lagi rekod buruk polis di Terengganu, khususnya menangani masalah
permit ceramah parti pembangkang, diketahui umum. Kita boleh menyenaraikan
program-program PAS di negeri ini, walaupun dalam premis tertutup – termasuk
pada majlis ceramah Israk Mikraj, di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam, 26
Ogos 2005 – berdepan dengan pelbagai kesulitan yang ditimbulkan pihak polis,
sehingga tembakan pemedih mata dan pancutan air gatal bukan perkara asing
lagi.

Memang pelik, jika hanya faktor ketenteraman awam diambil kira, apalah
susahnya untuk meluluskan permit ceramah. Bukankah hampir saban malam, di
seluruh negara, program-program penerangan PAS dijalankan secara aman, tanpa
sebarang kekecohan.* Kalau tidak diganggu polis, majlis berjalan lancar
sehingga tamat. Malah dalam PAS dibentuk Unit Amal bagi membantu kelancaran
lalu-lintas dan memastikan ia tidak menganggu penduduk setempat.*

Sebenarnya isu tembakan bom asap, keganasan polis, dan kesukaran mendapat
permit ceramah seolah-olah menjadi kelaziman dalam kegiatan politik
pembangkang di Malaysia. Walhal, sebagai parti yang sah didaftarkan,
pembangkang juga berhak untuk bertemu rakyat. Sudahlah segala saluran
maklumat lain ditutup, medan tradisi turun-temurun – pentas ceramah – pun
mahu dihalang ketat.

Itu belum diambil kira majlis-majlis yang bakal mempamerkan bantahan rakyat
terhadap dasar dan pelaksanaan pemerintah. Perhimpunan membantah kenaikan
minyak tidak lama dulu misalnya sering diganggu polis dan FRU. Aktivis
sosial bukan saja digari dan dihantar ke lokap polis, tetapi kerap juga kita
lihat ada yang dipukul-terajang sampai berdarah kepala. Dan yang paling
diingati tentulah demonstrasi sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid
Kampung Baru dalam era reformasi 1998-99 dahulu.

*Bukan pentas mengutuk pemerintah*

Namun, insiden berdarah di Batu Buruk ini membawa pengertian berbeda. Ia
bukan perhimpunan mengutuk pemerintah atas isu-isu tertentu. Ia sekadar
majlis ceramah anjuran Bersih, yakni gabungan parti-parti politik dan NGO,
yang menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, diketuai Presiden
MTUC, Syed Shahir. Jelajah program Bersih ini itu sebenarnya diadakan pada
setiap negeri. Difahamkan ia juga berhasrat untuk menggembleng kekuatan
100,000 rakyat Malaysia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu
kota, November nanti.

Menuntut perjalanan pilihan raya yang adil, telus, jujur dan bersih tidak
seharusnya ditanggapi sebagai usaha provokasi yang mesti digeruni
pemerintah. Kerajaan yang dibentuk atas konspirasi jahat SPR-Polis-Umno-JPN
(Jabatan Pendaftaran Negara) boleh dipertikai legitimasi atau keabsahannya,
dan inilah yang diperkatakan tentang mandat besar yang diterima Dato’ Seri
Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2004.

Ya, sesuatu yang ironi berlaku di Batu Buruk malam tadi. Majlis penerangan
buat rakyat memahami satu proses paling penting dalam pembentukan sebuah
kerajaan demokratik dihalang dengan begitu keras dan kasar. Pihak polis akan
mengemukakan pelbagai daleh dan alasan, khususnya tentang prosedur permit
dan aspek keselamatan lainnya, dan kita akur dengan syarat-syarat munasabah
yang ditetapkan. Tapi, paling ketara nantinya ialah penonjolan sikap memihak
polis terhadap kepentingan politik Umno-BN, terutama di sebuah negeri yang
kini dalam keadaan terumbang-ambing menghadapi suara rakyat yang telah bosan
dan muak dengan janji-janji yang tidak tertunai.

*Siapa perangkap siapa*

Mungkin ada soalan timbul, dengan keterbatasan tenaga dan sumber, apa
untungnya PAS dan juga pembangkang bertempur dengan pihak polis? Saya juga
berfikir begitu, *apa gunanya kita membazirkan kekuatan berdada dengan
keegoan dan kesombongan pasukan keselamatan, walhal di belakang mereka,
berdiri pimpinan Umno-BN yang bersiap-siaga untuk memasang
perangkap?*Sekali imbas mungkin ada logiknya persoalan itu
dibangkitkan.

Soalnya, apa pilihan kita? Selamanya kita mahu menjunjung prinsip demokrasi,
peraturan mengenai keselamatan awam dan penghormatan kita buat kakitangan
awam yang bertugas dengan penuh dedikasi. Bahkan, parti-parti pembangkang
selama ini, terutama PAS, membuktikan sikap terbuka dan rasa tanggungjawab
yang luar biasa, bagi memastikan Malaysia tidak terdedah kepada kancah
konflik yang mengancam keselamatan negara.

Malaysia aman dan stabil sebenarnya diasaskan oleh sikap toleransi
pembangkang meskipun berdepan dengan seribu satu penyelewengan dan penipuan
pemerintah. Belasan kali barisan oposisi tewas, dan sebahagian besarnya,
disebabkan konspirasi dan penipuan sang penguasa, dulunya Perikatan, kini
BN. Pernahkah kita saksikan amukan aktivis pembangkang yang tidak dapat
menerima kekalahan mereka sehingga negara menjadi kucar-kacir dan
porak-peranda? Tidak dan sama sekali tidak.

Malah, saya secara peribadi sebagai insan kecil dalam kelompok besar
pembangkang, seringkali tidak berpuas hati dengan sikap pimpinan parti yang
kelihatan begitu banyak bertasamuh dan bersabar “sekalipun leher mereka
dikelar secara kejam”.

Apa pun, rasanya masyarakat akan lebih mengenali lebih dekat penganjur
program di Batu Buruk itu, Bersih (dengan segala tuntutan dan programnya)
selepas ini. Ia mungkin dapat membantu menjayakan lagi usaha mengembleng
100,000 rakyat prihatin untuk menggesa satu reformasi menyeluruh terhadap
perjalanan pilihan raya yang selama ini terbukti tempang dan mudah
diperalatkan Umno-BN.

Semoga mereka yang cedera parah itu dapat pulih segera, berdoalah.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: